Malaikat Maut Mengintai Manusia 70 kali Sehari
Memang tiada siapa pun dapat menduga bila saat kematian mereka akan
tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan ‘menanti’
saat kematian mereka. Allah berfirman yang bermaksud:
“Setiap
yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan
kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali.”
(Surah al-Anbiyak ayat 35)
Tahukah kita bahawa malaikat maut
sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam
sehari? Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak lalai
mengingati mati.
Oleh kerana malaikat maut adalah makhluk
ghaib, manusia tidak dapat melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak
menyedari apa yang dilakukan malaikat Izrail.
Hadis Nabi s.a.w
yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a bahawa Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud: “Bahawa malaikat maut memerhati wajah manusia
di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung
wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata
Izrail: ‘Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus
oleh Allah untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok
dan bergelak ketawa.’”
Justeru, tidak hairanlah, jika ramai
manusia yang masih mampu lagi bergelak sakan dan bersenang-lenang seolah
mereka tiada masalah yang perlu difikirkan dalam hidup. Takdirnya esok
hari terakhir Allah ‘pinjamkan’ nyawa kepada kita untuk bernafas di muka
bumi ini adakah kita sudah cukup bekalan bagi menghadapi dua fasa
berikutnya iaitu alam barzakh dan alam akhirat?
Tiada seorang
pun di dunia ini dapat menggambarkan bagaimana perasaan dan pengalaman
mereka menghadapi saat kematian. Ajal tidak mengenal sesiapa sama ada
mereka itu tua, muda, sihat, kaya atau miskin. Rasulullah s.a.w juga
menjelaskan dalam hadisnya bahawa kesakitan ketika hampir mati itu
seperti ditetak 100 kali dengan pedang tajam atau seperti dikoyak
kulitnya dari daging ketika hidup-hidup. Bayangkanlah betapa sakit dan
dahsyatnya saat menghadapi kematian. Kalau hendak diikutkan siapa yang
hendak nyawanya dicabut dalam keadaan yang amat menyeksakan.
Maka amat beruntunglah sesiapa yang matinya dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan).
Salman Al-Farisi meriwayatkan hadis Nabi s.a.w yang bermaksud:
“Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu.
Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya; kedua: berlinang air matanya dan
ketiga: lubang hidungnya kembang kempis.
“Manakala jika ia
mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan
mulutnya berbuih, menandakan menandakan azab Allah sedang menimpa dia.”
(Hadis riwayat Abdullah, al-Hakim dan at-Tarmizi)
Kematian
‘menjemput’ manusia secara perlahan-lahan atau beransur-ansur mulai
aripada jasad, hujung kaki kemudian ke paha. Bagi orang kafir pula,
apabila nyawanya hendak dicabut Izrail, wajahnya akan menjadi gelap dan
keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Itu pula tanda
azab yang diterimanya disebabkan dosa dan kekufuran mereka.
Al-Qamah bin Abdullah meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w yang
bermaksud: “Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari
jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir
pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut
nyawa seekor khimar.”
Allah juga turut menimpakan seorang
Muslim yang berdosa itu dengan kekasaran ketika mereka menghembuskan
nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah dosanya. Mungkin ada juga orang
kafir yang mati dalam ketenangan mungkin kerana ketika hidupnya dia
berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana setiap
kebajikan pasti akan dibalas. Tetapi kerana tidak beriman, ia tidak
menjadi pahala kebajikan dan kekufurannya tetap diazab pada hari akhirat
kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila
telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan
malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka
menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke
lutut.
“Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain
masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya
mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan
menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka
keluar. “Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan
menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang
dikatakan saat nazak orang itu.”
Malaikat Izrail menjalankan
arahan Allah s.w.t dengan sempurna. Dia tidak diutuskan hanya untuk
mencabut roh orang sakit saja ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan
dan malapetaka. Kematian mungkin berlaku kerana sebab bencana seperti
gempa bumi, banjir, kebakaran dan ada juga yang matinya disebabkan
kemalangan, diserang penyakit berbahaya seperti kanser, jantung, Aids,
denggi dan taun. Seorang yang sedang sakit tenat, menjadi rahmat yang
tinggi nilainya kerana Allah masih memberi peluang supaya mereka sedar
akan kesilapan yang mereka lakukan selama hidup di dunia.
Maka
waktu itu mereka masih berpeluang bertaubat dari dosa dan kesilapan.
Begitu juga halnya dengan orang mati mengejut disebabkan kemalangan. Ia
memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka yang masih hidup supaya
berhati-hati dan tidak lalai berusaha untuk memperbaiki diri.
Justeru, bagi mereka yang masih diberikan nikmat kehidupan perlu
sentiasa mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Allah
menjadikan sebab kematian itu bagi memenuhi janji-Nya kepada malaikat
maut. Saidina Abbas meriwayatkan dalam sebuah hadis antara lain
menerangkan malaikat Izrail berasa sedih apabila ditugaskan mencabut roh
makhluk bernyawa. Ini kerana antara makhluk bernyawa itu adalah
termasuk manusia yang terdiri daripada kekasih Allah iaitu Rasul, nabi,
wali dan orang soleh. Malaikat maut mengadu kepada Allah betapa dirinya
tidak disenangi keturunan Adam a.s.
Dia mungkin dicemuh kerana
mencabut roh manusia yang mana menyebabkan orang berduka cita akibat
kehilangan orang tersayang dalam hidup mereka. Justeru, jika seseorang
Muslim itu meninggal dunia, beberapa langkah penting perlu dilakukan
seperti menempatkan jenazah di tempat yang sesuai sebagai
menghormatinya, sunat meletakkan keadaan kakinya menghala ke arah
kiblat, tanggalkan pakaian berjahit, tutupkan jenazah dengan sehelai
kain nipis ke atas seluruh jasadnya, rapatkan kedua-dua belah matanya
dan mulutnya, letakkan kedua-dua tangan jenazah di atas dadanya
sebagaimana dalam keadaan qiam (berdiri) ketika solat, letakkan sesuatu
yang sederhana berat di atas perutnya seperti gunting dan pisau serta
sunat bagi yang hidup mencium jenazah. Umat Islam dilarang mengaitkan
kematian seorang Muslim itu dengan tanda tertentu.
Itulah yang
menyebabkan umat Islam semakin mundur kerana terlalu banyak mempercayai
perkara khurafat dan tahyul. Jika ada kematian seperti kemalangan
contohnya kita ditegah untuk bertanya kepada waris apakah perbuatan
ganjil yang dilakukan sebelum kematiannya. Tiada siapa pun dapat
mengelak daripada mati melainkan Allah dan kematian tetap akan datang
tepat pada masanya.
Apabila sampai ajal seseorang, umat Islam
digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan
banyakkan bersabar. Islam menegah amalan keterlaluan seperti menjerit
dan meratapi kematian. Mereka yang masih hidup peluang perlu
dimanfaatkan dengan memperbaiki keadaan diri yang ternyata banyak
melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada daya atau usaha yang boleh
menyelamatkan kita daripada kematian. Kematian menjadikan hati manusia
menjadi sedih serta berpisah dengan keluarga tercinta. Hanya amalan
soleh saja akan membawa kita bertemu Allah.
sumber : FP facebook Mukjizat & Do'a
- Dapatkan link
- X
- Aplikasi Lainnya
Label:
Artikel
Dosa
Ghaib
Kiamat
Rahasia Allah
Komentar
Posting Komentar
Terima Kasih Sudah Berkomentar, semoga Allah selalu memberi anda yg terbaik ^^